Agensi

Buenos Aires: Seorang pekerja rumah pengkebumian dipecat selepas mengambil gambar bersebelahan keranda Diego Maradona.

Gambar mengejutkan itu menunjukkan lelaki berkenaan memberikan reaksi bagus di tangannya di sebelah mayat legenda berusia 60 tahun itu.

Difahamkan lelaki berkenaan ditugaskan untuk mempersiapkan mayat Maradona untuk upacara pengkebumian.

Pemilik pusat pengkebumian Sepelios Pinier mengesahkan kepada media tempatan bahawa pihaknya sudah memecat pekerja berkenaan.

Gambar yang tular di media sosial itu mencetuskan rasa marah peminat legenda Argentina yang memenangi Piala Dunia itu.

Seorang pemilik akaun Twitter menulis: "Dia sepatutnya digugurkan kewarganegaraan Argentina. Anda tidak sepatutnya melakukan perbuatan seperti itu. Jelas sekali tiada rasa hormat."

Maradona meninggal dunia ketika tidur Rabu lalu selepas mengalami serangan jantung.

Dia sedang menjalani rawatan di rumahnya di Tigre selepas keluar dari hospital 11 November lalu susulan pembedahan membuang darah beku di kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 1:55 PM