ASHMAWI (kanan) pasti akan ada banyak pembaharuan yang dibawa oleh Neitzel. FOTO NSTP
ASHMAWI (kanan) pasti akan ada banyak pembaharuan yang dibawa oleh Neitzel. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur:Tonggak pertahanan Selangor, Mohd Ashmawi Yakin yakin sentuhan pengendali baharu, Karsten Neitzel mampu menghadirkan sesuatu buat pasukan itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2015.

Ashmawi yang bakal memasuki tahun keempat bersama 'Red Giants' pada musim depan, berharap pengalaman Neitzel di Jerman mampu meletakkan Selangor di satu dimensi yang berbeza serta mampu menghadirkan kejuaraan sulung dalam kariernya sepanjang bersama pasukan.

"Dalam dunia bola sepak, lumrah bagi setiap pemain datang dan pergi untuk sesebuah pasukan dan Alhamdulillah rezeki untuk musim 2021 masih dengan pasukan Selangor.

"Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih kerana masih percaya dengan khidmat saya.

"Di bawah pengendali baru untuk tahun depan, saya pasti akan ada banyak pembaharuan yang dibawa oleh jurulatih dan saya berharap pasukan dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Jurulatih (Neitzel) masih baru lagi berada di Malaysia dan jika rezeki dapat membawa satu piala, saya pasti bersyukur kerana sudah lama bersama pasukan.

"Namun jika tidak, saya harap Selangor mampu buktikan yang terbaik berbanding musim-musim sebelum ini kerana kami di Selangor amat dahagakan kejayaan," katanya.

Neitzel pernah bertindak selaku penolong jurulatih di dua kelab Jerman, VfL Bochum dan SC Freiburg serta kelab terkemuka Jepun, Urawa Reds.

Dalam pada itu, Ashmawi mengakui selesa diletakkan sama ada di mana-mana posisi pertahanan sama ada kiri, kanan atau tengah walaupun pada awal penglibatannya dengan bola sepak, dia banyak beraksi selaku pemain pertahanan tengah.

"Kebiasaannya saya akan bermain di posisi pertahanan tengah namun tahun ini saya diberi peluang bermain di kedua-dua posisi kiri dan kanan.

"Pada saya mana-mana posisi pun tidak menjadi masalah kerana saya selesa main di ketiga-tiga tempat dan akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk berikan yang terbaik kepada pasukan," katanya.

Sebagai rekod, Ashmawi banyak diletakkan di posisi pertahanan kiri dalam kesebelasan utama pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:15 PM