FAISAL (kanan) ketika beraksi bersama Pahang. FOTO NSTP
FAISAL (kanan) ketika beraksi bersama Pahang. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang muda meningkat naik, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Muhamad Arif Mohamed Anwar kini berada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) bagi musim 2021.

Menurut sumber, dua pemain berkenaan juga sudah menyatakan persetujuan untuk berhijrah ke Terengganu musim depan selepas mencapai kata sepakat.

"Ya saya akui dua penyerang itu sudah berada dalam senarai pemain TFC dalam mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan selain Piala AFC.

"Pemain itu pun sudah setuju untuk menyarung jersi pasukan, jadi selepas kontraknya berakhir dengan pasukan masing-masing, kita akan menandatangani kontrak mereka.

"Kehadiran dua pemain meningkat naik itu bakal menambah ketajaman di jentera serangan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam pentas Piala AFC musim depan," kata sumber itu.

Sebelum ini dua pemain berkenaan mendedahkan mereka tidak lagi bersama pasukan masing-masing selepas mendapat tawaran daripada pasukan lain yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Musim ini Faisal yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' menyarung jersi pasukan Pahang sejak 2016 manakala Arif berjaya membantu pasukan UiTM FC berada di kedudukan keenam Liga Super musim ini.

Faisal, 22, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Pulau Pinang adalah pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun.

Manakala Arif, 25 adalah bekas pemain pasukan Harimau Muda B kemudian menyarung jersi skuad Kuala Lumpur, Petaling Jaya (PJ) City dan terakhir UiTM musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 2:04 PM