CHENG Hoe kurang berpuas hati ranking skuad negara naik kerana tidak menyertai pertandingan sepanjang tahun ini. FOTO NSTP
CHENG Hoe kurang berpuas hati ranking skuad negara naik kerana tidak menyertai pertandingan sepanjang tahun ini. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap peningkatan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pasukan negara sebagai petanda positif menjelang musim baharu yang lebih mencabar tahun depan.

Namun, beliau mengakui ia akan menjadi lebih puas sekiranya peningkatan ranking itu disebabkan oleh aksi pasukan kebangsaan di atas padang dalam setiap perlawanan diharungi.

Semalam FIFA mengumumkan kedudukan ranking yang menyaksikan skuad kendalian Cheng Hoe naik satu anak tangga dalam kemaskini terbaharu itu.

Walaupun tidak beraksi sepanjang tahun ini ekoran pandemik Covid-19, kedudukan skuad Harimau Malaya naik di kedudukan 153 berbanding 154 sebelum ini.

"Kalau kita tengok dari segi ranking itu ada satu peningkatan...naik satu anak tangga, tetapi kalau kita tengok keseluruhan tahun ini 2020, pasukan kebangsaan tak ada pertandingan, tak ada latihan dan sebagai jurulatih saya rasa tak berapa puas hati, walaupun ranking kita naik.

"Tapi kalau kita dapat bermain dan berlatih untuk pertandingan atau perlawanan persahabatan, dan kalau ranking kita naik lagi baguslah.

"Orang kata ia (peningkatan ranking) akan dapat jadi motivasi kepada pemain dan juga staf kejurulatihan. Tetapi disebabkan oleh Covid-19 ini semua terjejas dari segi persiapan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad negara yang tidak bermain sepanjang musim ini bakal mengharungi jadual yang sibuk tahun depan terutamanya aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan untuk menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G.

Ketika ini, Malaysia di tangga kedua di belakang Vietnam dengan sembilan mata dan baki tiga aksi lagi amat penting untuk skuad kebangsaan mengintai slot ke Piala Asia dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia zon Asia.

Selain peringkat kelayakan itu, pemain negara juga bakal mengharungi Piala AFF sebulan kemudian dalam bulan April di mana pasukan negara akan turun sebagai pasukan pilihan selepas muncul naib juara dua tahun lalu.

Sementara itu, beliau berharap skuad negara diberi kebenaran oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan latihan pada awal tahun depan.

"Dua tiga hari lalu Datuk Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) ada berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) berhubung persiapan pasukan kebangsaan kita.

"Jadi kita harap ada keputusan yang positif daripada pertemuan itu bagi persiapan kita untuk tahun depan nanti," katanya yang merancang untuk mengadakan kem latihan lebih awal pada pertengahan Mac nanti, atau lebih tepat seminggu sebelum tempoh aksi antarabangsa dalam kalendar FIFA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 2:30 PM