RUFINO edih untuk meninggalkan Selangor selepas empat musim berbakti buat skuad itu. FOTO NSTP
RUFINO edih untuk meninggalkan Selangor selepas empat musim berbakti buat skuad itu. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia (Liga M) 2018, Rufino Segovia berkongsi impian untuk kembali bersama Selangor selepas ini dengan peranan yang lebih besar iaitu sebagai jurulatih.

Rufino yang sah meninggalkan skuad Red Giants musim depan adalah antara penyerang import terbaik yang pernah dimiliki oleh pasukan Merah Kuning itu.

Menurut pemain Sepanyol itu, dia sedih untuk meninggalkan Selangor selepas empat musim berbakti buat skuad itu.

"Hari ini (semalam) adalah hari yang sedih bagi saya, namun saya bersyukur kerana saya pernah bermain untuk pasukan Selangor. Saya harap dapat kembali semula sebagai jurulatih.

"Saya akan sentiasa menyayangi dan mengingati kamu (penyokong Selangor) selamanya," katanya yang meledak 19 gol Liga Super pada musim 2018 sekali gus dinobatkan penjaring terbanyak.

Jelas Rufino, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan yang sentiasa memberi sokongan terutama ketika dia mengalami kecederaan serius pada musim 2019.

Dia disahkan mengalami kecederaan 'achilles tendon' yang menyaksikan kakinya dibedah dan terpaksa berehat selama enam bulan.

"Saya mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua. Empat musim yang terbaik dalam hidup saya, dengan penyokong terbaik yang boleh saya impikan, sebuah kelab dan penyokong yang memberikan segalanya untuk saya dan saya memberikan segalanya untuk anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 10:53 PM