LUQMAN berusaha mendapatkan kembali kecergasannya selepas berehat hampir tiga minggu berikutan kecederaan. FOTO Ihsan KV Kortrijk
LUQMAN berusaha mendapatkan kembali kecergasannya selepas berehat hampir tiga minggu berikutan kecederaan. FOTO Ihsan KV Kortrijk
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak meletakkan harapan tinggi disenaraikan dalam aksi Liga Pro Jupiler Belgium buat masa ini, meskipun sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Ia termasuk aksi terdekat membabitkan pertembungan antara KV Kortrijk (KVK) dan KV Oostende di Stadium Guldensporen pada awal pagi esok.

Luqman mengakui dia kini sedang berusaha mendapatkan kembali kecergasannya selepas berehat hampir tiga minggu berikutan kecederaan itu.

Katanya, dia kemungkinan tidak akan menyertai pasukan, namun mengakui segala-galanya terserah kepada pengurus, Yves Vanderhaeghe untuk memutuskan statusnya.

"Alhamdulillah, sekarang dah 100 peratus cergas dari kecederaan hamstring dan saya dah mula latihan dengan pasukan.

"Peluang saya untuk bermain Ahad nanti (awal pagi Isnin waktu Malaysia), itu terpulang pada jurulatih nak senarai atau tak.

"Tapi bagi saya peluang untuk 18 dalam senarai pemain tak kot sebab saya baru saja sertai latihan dengan pasukan, tapi itu semua terpulang kepada jurulatih," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Luqman, 18, sebelum ini menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring, di mana otot paha kanannya disahkan koyak sepanjang 2 sentimeter dan perlu berehat selama tiga minggu.

Kecederaan itu dialaminya ketika menjalani sesi latihan sehari selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht pada 24 Oktober lalu.

Jelasnya, jika dia disenaraikan dan diberi peluang untuk beraksi, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sedia memberi aksi terbaik sekali gus mahu menghadiahkan kemenangan kepada pasukan.

"Harapan saya (jika diturunkan) ingin buat yang terbaik dan kemenangan supaya dapat tiga mata," katanya yang mengikat kontrak panjang selama lima musim bersama KVK.

Untuk rekod, Luqman muncul pemain pertama Malaysia beraksi di liga utama Eropah selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan RSC Anderlecht yang menyaksikan KVK tewas 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 11:33 PM