KLOPP (dua kanan) tersenyum sinis selepas menyaksikan pengadil, Stuart Attwell menghadiahkan sepakan penalti kepada Brighton pada lewat permainan. FOTO AFP
KLOPP (dua kanan) tersenyum sinis selepas menyaksikan pengadil, Stuart Attwell menghadiahkan sepakan penalti kepada Brighton pada lewat permainan. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp sekali lagi meluahkan rasa kecewa dengan jadual 'berbahaya' selepas dua gol Liverpool dibatalkan selain menghadiahkan dua sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Brighton semalam.

Liverpool kembali ke tangga teratas Liga Perdana mengatasi Tottenham namun dikecewakan dengan sepakan penalti lewat permainan Pascal Gross yang menyaksikan mereka terpaksa berkongsi satu mata dengan Brighton.

Klopp sudah meluahkan rasa kurang senangnya sepanjang minggu lalu apabila anak buahnya terpaksa beraksi di waktu tengahari tiga hari selepas tewas kepada Atalanta di saingan Liga Juara-Juara.

Dengan deretan pemain mengalami kecederaan, Reds berdepan satu lagi kesukaran selepas James Milner terpaksa digantikan berikutan kecederaan hamstring dialaminya pada separuh masa kedua.

"Tahniah," kata Klopp secara sarkastik kepada wartawan televisyen BT Sport.

"Anda bekerja untuk mereka? Saya tidak mahu bergurau dengan stesen penyiaran. Saya hanya mahu memperkatakan apa yang benar.

"Selepas perlawanan pada Rabu, beraksi pada hari Sabtu jam 12.30 tengahari sangat berbahaya kepada pemain."

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp mendahului perlawanan melalui jaringan Diogo Jota pada separuh masa kedua selepas penyerang Brighton, Neal Maupay gagal menyempurnakan penalti di separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Liverpool dikejutkan dengan jaringan di masa kecederaan apabila tentangan yang dilakukan Andrew Robertson ke atas Danny Welbeck membolehkan Brighton dihadiahkan sepakan penalti selepas Stuart Attwell mengubah keputusannya sebaik merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).

Gross menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Klopp mengejek pengadil dengan memberikan tepukan selepas perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:02 AM