CAVANI meraikan jaringan selepas meledak gol penyamaan buat United. FOTO AFP
CAVANI meraikan jaringan selepas meledak gol penyamaan buat United. FOTO AFP
AFP

Southampton: Edinson Cavani membantu Manchester United melakukan kebangkitan selepas ketinggalan dua gol untuk membolehkan kelabnya meraih kemenangan 3-2 ke atas Southampton.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer di ambang kekalahan selepas ketinggalan dengan dua jaringan di separuh masa pertama melalui Jan Bednarek dan James Ward-Prowse.

Malang terus menimpa Solskjaer, apabila United kehilangan penjaga gol, David de Gea yang mengalami kecederaan lutut sebelum babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, penyerang Uruguay, Cavani berjaya memberikan sinar buat United selepas dimasukkan pada babak kedua.

Cavani melakukan hantaran kepada Bruno Fernandes untuk merapatkan jurang sebelum bekas bintang Paris St-Germain itu menanduk masuk gol penyamaan.

Pemain berusia 33 tahun itu sekali lagi meledak jaringan pada masa kecederaan dan ia adalah gol ketiganya sejak menyertai United Oktober lalu.

United melonjak ke tangga ketujuh, kurang dua mata dari kelompok empat terbaik selepas melakar rekod lapan kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang lawan.

I

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 12:41 AM