JASMIR.. mahu kekal bersama Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
JASMIR.. mahu kekal bersama Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain tengah Melaka, Jasmir Mehat berharap mampu melakar kejayaan besar bersama pasukan terbabit musim depan jika terus diberi kepercayaan mewakili skuad itu pada 2021.

Mengakui berdepan saingan sengit meraih tempat dalam kesebelasan utama musim ini, dia nyata bertekad mahu memberi komitmen 200 peratus bersama pasukan dalam melakar kenangan indah bersama pasukan itu.

Katanya, sasarannya adalah untuk meraih senarai 18 dalam skuad berkenaan dalam masa sama membuktikan sebagai kesempatan terbaik untuk melakar kejayaan lebih gemilang selepas agak terbatas pada musim ini.

"Kontrak saya bersama Melaka berakhir semalam. Bagaimanapun Insya Allah, jika diberi peluang bermain saya akan buktikan sesuatu. Saya akui bukan senang merebut tempat dalam kesebelasan pasukan musim ini.

"Dengan ramai pemain senior termasuk Safiq Rahim sudah pasti ruang berkenaan agak sukar pada musim ini. Apapun dikhabarkan ramai pemain dikekalkan bagi saingan 2021 sudah pasti ini kesempatan terbaik untuk saya tampil dengan semangat baharu," katanya.

Apapun, dia menyerahkan semua keputusan kepada pengurusan pasukan dan jurulatih yang memimpin pasukan 2021 bagi menentukan kedudukannya.

Baginya, sepanjang musim ini, dia tetap memberikan yang terbaik malah berkesempatan belajar dengan ramai pemain senior dan barisan import untuk meningkatkan daya saing.

Malah peluang bermain bersama Safiq dan rakan-rakan lain sepanjang 2020 juga pengalaman berharga yang ingin dicurahkan bersama skuad Hang Tuah bagi saingan Liga Malaysia 2021 kelak.

Jasmir yang juga mampu bertindak sebagai pemain sayap adalah penyerang utama ketika Melaka menjuarai saingan Piala Liga FAM 2015 selain menyumbang kejuaraan Liga Perdana buat skuad itu pada musim 2016.

Dia yang kemudiannya menyertai Terengganu City FC dan membantu kelab itu menjuarai Piala Liga FAM 2018 sempat menyertai Perlis dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sebelum kembali menyertai Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:12 PM