TENGKU Tengku Amir Shah berkata SFC akan bergerak secara profesional. FOTO Faiz Anuar
TENGKU Tengku Amir Shah berkata SFC akan bergerak secara profesional. FOTO Faiz Anuar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Selangor FC (SFC) yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah percaya dan yakin pengasingan kelab daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal membuka lembaran baharu buat skuad Red Giants selepas ini.

Jelas Tengku Amir, ia adalah sejajar dengan konsep dan sistem bola sepak moden yang sering digunapakai oleh kelab-kelab di luar negara.

Kesan pelaksanaan itu, SFC akan bergerak secara profesional sekaligus mampu mencapai objektif untuk menyediakan ekosistem bola sepak yang sebenar selain dapat melahirkan pemain-pemain berkualiti buat pasukan kebangsaan.

"Melalui penswastaan ini, Beta melihat hala tuju entiti kelab bola sepak Selangor sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun, dan memandang ke hadapan.

"Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terbabit dalam sukan bola sepak dan dalam masa yang sama, kita dapat memberi fokus sepenuhnya kepada dua misi berbeza dalam satu masa, melalui SFC dan FAS," kata Tengku Amir.

Bermula semalam, pasukan bola sepak Selangor membuka lembaran baru apabila mula efektif bergelar Selangor FC, sebuah kelab bola sepak profesional yang sah diswastakan di bawah Red Giants FC Sdn Bhd.

Red Giants FC Sdn Bhd adalah sebuah entiti yang menguruskan kelab ini secara profesional dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Tengku Amir Shah (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

Penswastaan ini sudah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September yang lalu, namun pemisahan entiti di antara FAS dan SFC hanyalah efektif bermula 1 Disember 2020.

Dari sudut kepimpinan tertinggi organisasi, kedua-dua entiti ini kekal bernaung di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Kelab dan Presiden Persatuan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS sebelum ini iaitu Dr Johan Kamal Hamidon, kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi SFC.

Seorang lagi watak penting dalam pembangunan bola sepak Selangor, Muhammad Izrin Nabil, yang sebelum ini memegang portfolio Ketua Unit Pertandingan FA Selangor pula dilantik bagi mengambil alih tugas Setiausaha Agung FAS.

"Beta cukup mengenali Johan dan Nabil kerana sudah bekerjasama dengan Beta sejak dahulu lagi.

"Mereka adalah individu yang komited dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sejak lima tahun yang lalu.

"Beta berharap agar rakyat Selangor dan penyokong pasukan Gergasi Merah boleh memberikan kepercayaan dan kerjasama kepada dua individu ini dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:09 PM