LIVERPOOL penyandang juara Piala Dunia Kelab. FOTO AFP
LIVERPOOL penyandang juara Piala Dunia Kelab. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Jepun akan menganjurkan Piala Dunia Kelab mengikut format sedia ada pada penghujung 2021, selepas perkara itu diumumkan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Bagaimanapun, cadangan untuk memperluaskan lagi kejohanan berkenaan ditangguhkan terlebih dulu berikutan pandemik Covid-19.

Ini bermakna terdapat dua kejohanan dalam tahun yang sama, dengan Qatar akan menganjurkan saingan 2020 pada 1 hingga 11 Februari sebelum edisi tujuh pasukan lagi berlangsung di Jepun pada Disember.

Jepun sudah menganjurkan Piala Dunia Kelab sebanyak lapan kali sebelum ini dengan yang terbaru pada 2016.

Kejohanan berkenaan diperluaskan kepada 24 pasukan, termasuk lapan wakil dari Eropah dan akan diadakan di China tahun depan, namun ia akan ditetapkan dalam satu tarikh yang bakal diberitahu kelak kerana memberi laluan kepada saingan Euro 2020 dan Copa America Jun serta Julai depan.

"Berikutan situasi Covid-19, yang menyebabkan kejohanan format baru Piala Dunia Kelab ditangguhkan, kami membuat keputusan sekali lagi menggunakan format asal pada Disember 2021 serta memberi amanah kepada Jepun untuk menjadi tuan rumah," kata Infantino.

Ini bermakna akan ada satu wakil dari Eropah, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Tengah, Afrika, Asia dan Oceania, dengan juara Jepun bakal melengkapkan saingan itu.

Bayern Munich akan mewakili Eropah ada saingan Februari ini di Qatar, di mana wakil Jerman itu cuba untuk mengulangi pencapaian Liverpool, muncul juara edisi terdahulu di Doha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 10:43 AM