ARTETA anggap Spurs bukan pencabar untuk kejuaraan liga musim ini. FOTO Agensi
ARTETA anggap Spurs bukan pencabar untuk kejuaraan liga musim ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata Tottenham Hotspur berhak berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) namun ia masih terlalu awal untuk melabel seteru tetangga itu sebagai pencabar tulen kejuaraan liga.

Spurs yang dibimbing Jose Mourinho belum tumpas sejak kalah pada perlawanan pembukaan musim dan mempunyai peluang untuk menjarakkan 11 mata dengan seteru London itu apabila kedua-duanya bertemu awal pagi Isnin.

"Saya rasa ia masih terlalu awal untuk musim ini bagi kita lihat sesebuah pasukan itu pencabar kejuaraan liga atau tidak.

"Bagaimanapun, apa yang anda boleh katakan mengenai kedudukan mereka sekarang adalah disebabkan mereka melakukan dengan cara yang betul," kata Arteta.

Berbeza dengan Arsenal, mereka agak bergelut untuk beraksi konsisten dan berada di kedudukan ke-14 liga, manakala hasil kutipan 13 mata dalam 10 perlawanan pembukaan adalah yang terburuk sejak musim 1981/82.

"Kedudukan dalam carta liga seperti sekarang adalah disebabkan mereka berhak meraihnya berbanding kami dan mereka melakukan semua perancangan dengan betul.

"Kami harus menerimanya namun kami juga mahu menghampiri mereka dan merapatkan jurang lebih kecil kepada tiga mata," kata Arteta.

London diletakkan sebagai tempat berkedudukan di Tier 2 Covid-19 oleh kerajaan Britain, bagi membolehkan kehadiran 2,000 penyokong ke Stadium Tottenham Hotspur awal pagi Isnin ini sejak Mac lalu.

Arteta berharap anak buahnya mampu berdepan suasana berkenaan.

"Kami sudah menunggu lama saat seperti ini dan saya tidak akan merungut. Secara jujurnya, saya lebih rela bermain di stadium dengan suasana seperti ini, dengan kehadiran penyokong dan buat masa sekarang ia memihak kepada mereka, selepas ini kami pula," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 12:01 PM