DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di DUN Perak semalam. FOTO NSTP
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di DUN Perak semalam. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemelut politik di Perak menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya mengenai masa depan pasukan bola sepak negeri itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Skuad The Bos Gaurus yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa mengosongkan jawatannya selaku Menteri Besar (MB) selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

Kedudukan jawatan politiknya pasti memberi kesan secara langsung kepada pentadbiran Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), di mana beliau juga turut memegang jawatan sebagai Presiden PAFA.

Sudah pasti, pertukaran MB di peringkat kerajaan negeri akan turut mempengaruhi kedudukannya sebagai Presiden PAFA sekaligus mengganggu proses pembangunan dan penswastaan bola sepak di negeri terbabit.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, krisis politik yang berlaku di Perak sememangnya merugikan bola sepak di negeri berkenaan yang dilihat menjadi mangsa ekoran ketamakan kuasa oleh segelintir pihak.

Katanya, tindakan pihak terbabit umpama virus Covid-19 yang sudah menjangkiti ahli politik yang akhirnya akan merugikan ramai pihak termasuk industri bola sepak di Perak.

Jelasnya lagi, inilah harga yang perlu dibayar oleh Persatuan Bolasepak Negeri (FA) apabila proses penswastaan tidak dilaksanakan segera dengan masih mengharapkan ahli politik memegang jawatan dalam sistem bola sepak.

"Rugi dan sayang sekali apabila krisis politik Perak akan turut memberi implikasi kepada bola sepak di Perak nanti.

"Kita tidak tahu lagi siapa yang akan memegang jawatan selaku Presiden PAFA dan siapakah individu yang akan dilantik untuk meneruskan kecemerlangan bola sepak di Perak.

"Kalau dapat yang tak minat bola, memang habis Perak. Sebab itulah kita kena bergerak cepat sebagai entiti swasta dan ahli politik kalau boleh jangan terbabit langsung," katanya kepada Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:18 PM