CELINE antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich. FOTO Ihsan FAM
CELINE antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap skuad bawah 15 (B-15) tahun wanita kebangsaan, Celine Chuang mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi bersama salah satu kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich.

Celine yang baru berusia 15 tahun beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu dan tidak menjadikan jantinanya sebagai batu penghalang untuk beraksi di atas padang sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu bersaing dalam sukan yang kebiasaannya di dominasi oleh lelaki.

Dia berkongsi minat dan keghairahannya terhadap sukan bola sepak bermula selepas menyaksikan sendiri aksi kakak serta abangnya di atas padang.

"Saya memulakan latihan secara serius di dalam sukan ini lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun di Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang."

"Teknik baru serta menyeronokkan yang boleh dipelajari adalah salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini selain membantu saya mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan," kata Celine.

Berbekalkan keinginan yang tinggi untuk meningkatkan lagi prestasinya, Celine membuat keputusan berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun.

"Ketika mengikuti latihan di Malaysia, saya banyak mempelajari tentang asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana saya berlatih setiap sepanjang minggu di bawah metodologi Cruzeiro," katanya.

Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya membuat keputusan untuk berhijrah ke Jerman, bagi mengikuti jejak abangnya untuk mendapatkan pendidikan di Munich.

Berkongsi cita-cita yang sama seperti abangnya, Celine juga mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman selain mengimpikan masa depan yang cerah.

Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu Februari lalu.

"Segala usaha saya selama ini ternyata berbaloi apabila saya diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich.

"Saya juga sangat bersyukur apabila diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker M√ľnchen e.V," jelas Celine.

Dengan pengalamannya berlatih bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand, Celine sudah biasa bermain di samping rakan sepasukan.

"Beraksi dan berlatih bersama FC Wacker Munchen e.V banyak mengajar saya untuk memperbaiki teknik selain mendidik saya untuk jadi lebih berkeyakinan," katanya.

Berkongsi pula pengalamannya sepanjang empat bulan berlatih di Jerman, Celine menyatakan bahawa pada awalnya, dia mengambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk selain perbezaan bahasa juga menjadi salah satu cabaran yang perlu dilaluinya.

"Walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, komuniti di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan kami di sini (Jerman). Saya berupaya untuk menyesuaikan diri selepas menetap di sini sejak Jun lalu.

"Bagaimanapun kami kini hanya menjalani latihan secara online selepas pertandingan dan liga di sini dibatal serta ditangguhkan kerana pandemik Covid-19," jelasnya.

Nama Celine kini mula mendapat tempat di dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.

Celine sebelum ini mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 9:02 PM