Martinez (kanan) meraikan jaringannya pada aksi Serie A. FOTO AFP
Martinez (kanan) meraikan jaringannya pada aksi Serie A. FOTO AFP
AFP

Milan: Lautaro Martinez meledak hatrik ketika Inter Milan memulakan aksi 2021 dengan cemerlang apabila mencatat kemenangan 6-2 ke atas pasukan tercorot, Crotone, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Inter mengambil alih kedudukan teratas carta liga Serie A.

Inter mengesahkan kemenangan liga dalam lapan perlawanan berturut-turut untuk mengatasi dua mata di depan AC Milan yang akan berkunjung ke Benevento ketika penyandang juara Juventus melayan kunjungan Udinese.

Martinez dan Romelu Lukaku terbukti sukar disekat buat pasukan dari utara itu ketika gandingan penyerang itu terbabit dalam lima gol yang dihasilkan Inter.

Skuad kendalian Antonio Conte terikat 2-2 sebelum waktu rehat separuh masa dengan Niccolo Zanellato mendahului jaringan menerusi tandukan ketika 12 minit permainan.

Namun Martinez yang menyambut umpanan Lukaku menyamakan kedudukan buat tuan rumah lapan minit kemudian.

Asakan di depan gol yang dilakukan Martinez membuatkan pemain pertahanan Crotone, Luca Marrone tertolak masuk ke gawang sendiri.

Vladimir Golemic menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi penalti selepas Arturo Vidal melakukan kekasaran ke atas Arkadiusz Reca.

Martinez memastikan Inter di depan menerusi tandukan sejurus babak kedua bersambung sebelum Lukaku meledak gol ke-50 bersama Inter selepas 64 minit permainan dan Martinez meledak hatrik pada minit ke 78.

Sementara Achraf Hakimi turut mencetak nama dalam senarai penjaring ketika penghujung babak perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 11:38 PM