BEKAS pemain import Terengganu FC II, Bruno Suzuki (kiri) sah perkasa pasukan PDRM musim ini. FOTO Ihsan TFC
BEKAS pemain import Terengganu FC II, Bruno Suzuki (kiri) sah perkasa pasukan PDRM musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Impian bekas penyerang Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki untuk terus mewarnai pentas Liga Malaysia (Liga M) tercapai apabila dia dirantai pasukan PDRM musim ini.

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu menjelaskan dia bersetuju beraksi bersama pasukan The Cops itu dengan perjanjian selama setahun.

Sebelum ini pemain berusia 31 tahun yang sudah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak 2017 ketika mewakili Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke TFC II setahun kemudian sehingga musim lalu dirisik kelab dari Thailand, Chonburi FC musim ini.

Namun atas beberapa faktor termasuk wabak pandemik Covid-19, pemain yang memulakan kariernya bersama kelab Albirex Niigata dalam Liga Jepun, tidak jadi menyarung kelab Thailand itu.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan PDRM terutama jurulatih, Mat Zan Mat Aris kerana melamar saya musim ini, lagipun ini hasrat saya untuk terus beraksi dalam Liga M.

"Sebelum ini saya ada berbincang dengan kelab Chonburi FC, namun disebabkan beberapa faktor termasuk Covid-19, saya tidak jadi ke sana.

"Kontrak saya bersama pasukan PDRM selama setahun, jika ditanya impian saya sudah tentu untuk menjadi penjaring utama pasukan selain mahu melakar pemenang Kasut Emas Liga Perdana," katanya.

Musim lalu ketika mewakili pasukan The Turtles, Suzuki yang bergandingan dengan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah adalah antara watak penting kejayaan pasukannya muncul naib juara Liga Perdana ketika bawah kendalian jurulatih Roshadi Wahab.

Sementara itu pengendali baharu PDRM, Mat Zan akui kehadiran Suzuki bakal memantapkan lagi pasukan terutama jentera serangan.

"Kita menyasarkan untuk berada di kedudukan terbaik Liga Perdana musim ini untuk mengintai tempat ke saingan Liga Super 2022, jadi kehadiran Suzuki yang berpengalaman luas dalam pentas Liga M bakal memberikan impak yang positif kepada pasukan.

"Suzuki bakal memakai jersi nombor 10 manakala seorang lagi penyerang kelahiran Argentina yang dalam proses untuk di bawa masuk dalam pasukan bakal memakai jersi nombor sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 1:40 PM