KONGRES FAM ke-57 akan berlangsung 13 Mac depan. FOTO FB FAM
KONGRES FAM ke-57 akan berlangsung 13 Mac depan. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sebanyak 17 kerusi bakal menjadi rebutan pada Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57 yang dijadualkan berlangsung 13 Mac ini di Hilton Petaling Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, pihaknya sudah mengedarkan borang pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025 kepada kesemua 20 ahli gabungannya.

Katanya, borang pencalonan yang diedarkan kelmarin itu perlu diisi oleh ahli gabungan dan harus dikembalikan selewat-lewatnya jam 5.30 petang pada 11 Februari ini.

Menurutnya lagi, proses pemilihan itu akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM, sebuah jawatankuasa bebas yang pembentukannya diluluskan pada Kongres FAM Ke-56, tahun lalu dan ia juga akan diadakan dengan mengguna pakai Kod Pemilihan FAM yang baru diluluskan itu.

"Selain saya selaku pengerusi, Jawatankuasa Pemilihan FAM ini turut dianggotai oleh tiga orang ahli, iaitu Datuk Hj Ab Jalil Abdullah, bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN); Tuan Haji Salleh Ramli, bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan & Kedah serta Fong Wan Hor, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Untuk makluman semua, borang pencalonan yang sudah diedarkan itu perlu diisi dengan lengkap nama-nama calon bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan exco, masing-masing oleh setiap 20 ahli gabungan FAM.

"Sebanyak 17 kerusi diperuntukkan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM iaitu seorang presiden, dua orang timbalan presiden, empat orang naib presiden dan 10 orang exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas untuk wanita)," katanya.

Jelasnya lagi, untuk kerusi presiden, calon haruslah menerima enam pencalonan berbanding sebelum ini hanya satu.

"Mengikut Artikel 27 (4) Statut FAM, calon yang ingin bertanding jawatan presiden memerlukan minimum enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM.

"Jawatan timbalan presiden memerlukan minimum lima pencalonan, jawatan naib presiden memerlukan minimum empat pencalonan manakala jawatan exco memerlukan minimum 2 pencalonan.

"Maklumat lanjut berhubung proses pencalonan dan pemilihan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM," katanya.

Pada pemilihan lalu, Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden FAM ketujuh bagi baki penggal 2017-2021 untuk menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Kongres FAM ke-54.

Bekas Setiausaha Agung FAM itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya iaitu bekas Presiden Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi membuat keputusan menarik diri. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 1:49 PM