MAHALI (kiri) akui pemain perlu disiplinkan diri sendiri bagi memastikan tahap kecergasan kekal berada pada tahap terbaik. FOTO Ihsan PJ City FC
MAHALI (kiri) akui pemain perlu disiplinkan diri sendiri bagi memastikan tahap kecergasan kekal berada pada tahap terbaik. FOTO Ihsan PJ City FC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan persiapan pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bagi menghadapi saingan Liga Super 27 Februari depan.

Pemain pertahanan PJ City FC, Mahali Jasuli berkata pengurusan skuad 'The Phoenix' mewajibkan semua pemain mengikuti latihan bersama-sama secara dalam talian pada waktu pagi dan petang untuk memastikan pemain mengekalkan tahap kecergasan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Buat masa ini hanya latihan dalam talian menjadi pilihan dan bolehlah membantu saya serta rakan-rakan daripada tidak ada buat apa-apa langsung.

"Latihan pada waktu pagi dan petang, selain itu saya rasakan pemain juga kena disiplinkan diri sendiri bagi memastikan tahap kecergasan boleh kekal berada pada tahap terbaik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri bermula 13 hingga 26 Januari ini di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, pemain pertahanan Pulau Pinang Mohd Azmi Muslim berkata barisan kejurulatihan skuad Harimau Kumbang menyediakan program latihan dalam talian bagi memastikan kesemua pemain berada dalam prestasi terbaik menjelang sepak mula Liga M.

Katanya, pasukan juga dilihat lebih matang untuk mengharungi cabaran kali ini berdasarkan pengalaman PKP yang dilalui tahun lepas.

"Tetapi tahun ini, kami sedar dengan situasi sekarang dan apabila sekali lagi dikenakan PKP, pasukan dan jurulatih sudah bersedia dengan segala program latihan untuk kami ikut dalam talian setiap hari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 9:05 PM