Ciro Immobile (kiri) meraikan jaringan pembukaan menentang Roma. FOTO Agensi
Ciro Immobile (kiri) meraikan jaringan pembukaan menentang Roma. FOTO Agensi
AFP

Milan: Lazio mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas seteru utama, Roma pagi ini, untuk menyamai rekod antara kemenangan terbaik mengatasi tetangga mereka itu dalam Serie A.

Kemenangan itu melonjakkan Lazio di kedudukan ketujuh carta dengan 31 mata, hanya dua mata di belakang juara bertahan Juventus di tempat keempat.

Roma kekal di tempat ketiga dengan 34 mata, tetapi ketinggalan enam mata daripada pendahulu liga, AC Milan yang masih mempunyai baki satu perlawanan.

Ciro Immobile menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14 untuk gol ke-12 peribadinya musim ini.

Luis Alberto meledak dua lagi gol pada minit ke-23 dan 67.

Roma yang mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan di tangga kedua liga, Inter Milan minggu lalu terselamat daripada hukuman yang lebih buruk oleh aksi penjaga gol Paul Lopez yang menyelamatkan rentetan cubaan melakukan jaringan pada babak kedua.

"Musim ini, ia lebih penting daripada biasa, kerana kami tidak melakukan dengan baik dalam Serie A seperti yang kami mahukan," kata bintang Sepanyol, Alberto.

"Tiga atau empat perlawanan terakhir semakin baik, kami menunjukkan peningkatan dan kami membuktikannya pada pertembungan tetangga ini.

"Kami menunjukkan mentaliti kemenangan dan mahu memastikan momentum seperti ini berterusan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 8:07 AM