Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino. FOTO AFP
Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino. FOTO AFP
AFP

Paris: Jurulatih Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino diuji positif Covid-19, hanya dua minggu selepas dia memegang jawatan itu.

Warga Argentina berusia 48 tahun itu akan "menjalani kuarantin dan mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan," menurut PSG di Twitter.

Penolongnya, Jesus Perez dan Miguel D'Agostino akan mengambil alih pasukan menjelang kunjungan ke Angers hari ini.

Tiga pemain PSG sudah diuji positif virus berkenaan minggu lalu - pemain Brazil, Rafinha, Thilo Kehrer (Jerman) dan Colin Dagba (Perancis).

Bekas jurulatih Tottenham, Pochettino sudah mengharungi tiga perlawanan bersama PSG, termasuk memenangi Trofi Juara-Juara di Lens pada Rabu hasil kemenangan 2-1 ke atas Marseille.

Pochettino mengambil alih tugas dari Thomas Tuchel dan menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2022, dengan pilihan tambahan setahun.

Tuchel dipecat 24 Disember lalu walaupun berjaya membawa pasukan itu ke final Liga Juara-Juara buat julung kali musim lalu.

Pochettino pernah beraksi untuk PSG dari tahun 2001 hingga 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 8:30 AM