KOBE mengakui ada menerima panggilan daripada wakil FAM. FOTO Agensi
KOBE mengakui ada menerima panggilan daripada wakil FAM. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika bukan kerana pandemik Covid-19 berdarah campuran Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong sudah pasti menjadi antara senjata terbaru skuad Harimau Malaya dalam mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Situasi terbabit berlaku kepada Kobe apabila hasratnya untuk menyarung jersi kebangsaan terpaksa ditangguh sementara apabila tidak boleh ke Malaysia berikutan pintu sempadan ditutup bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kobe yang dihubungi Arena Metro mengakui ada menerima panggilan daripada wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan perkara terbabit dan setakat ini bersetuju untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Katanya, dia tiada masalah untuk bermain bersama skuad kebangsaan dan setakat ini segala urusan dokumentasi sudah selesai.

"Saya sepatutnya datang ke Malaysia pada tahun ini dan mengikut perancangan mula menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Mereka (FAM) ada menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dan setakat ini bersetuju mewakili negara di pentas antarabangsa," katanya, di sini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Kobe sudah menyatakan persetujuan mahu menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Walaupun bekas pemain Cagliari Bawah 17 (B-17) itu tidak pernah menjejak kaki ke Malaysia namun itu bukannya halangan untuk berbakti kepada negara apabila diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.

Sementara itu, Kobe yang juga anak tunggal mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia terutama berkaitan pasukan kebangsaan sekali gus bersemangat dapat mewakili negara pada masa akan datang.

"Saya mahu datang ke Malaysia dan melihat serta merasai sendiri suasana bola sepak di negara itu yang semakin berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 12:03 AM