REAKSI kecewa Klopp pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
REAKSI kecewa Klopp pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp berkata tiada jawapan mudah untuk menjawab mengapa Liverpool gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas seri 0-0 ketika bertemu Manchester United di halaman sendiri, hari ini.

Juara bertahan Liga Perdana itu memerlukan aksi cemerlang penjaga gol, Alisson Becker untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di Anfield kepada 68 perlawanan selepas menafikan cubaan, Bruno Fernandes dan Paul Pogba.

Skuad bimbingan Klopp kini gagal melakar kemenangan pada empat perlawanan terakhir untuk menduduki tangga keempat, tiga mata di belakang United.

"Tidak ada penjelasan yang mudah. Kami sentiasa melepaskan peluang, termasuklah pada perlawanan yang kami menang. Kini kami mengulanginya.

"Kami perlu lebih baik untuk mendapatkan mata. Saya rasa kami sudah mempamerkan aksi terbaik untuk mendapatkan tiga mata penuh tetapi gagal menjaringkan gol.

"Momen ini berlaku dalam bola sepak. Terdapat momen di mana anda tidak dapat memberi penjelasan mengapa anda mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut, seperti yang kami lakukan ketika menewaskan Crystal Palace 7-0.

"Anda perlu terus mencipta peluang dan menjaringkan gol," kata Klopp.

Liverpool mendominasi pada babak pertama sebelum United bangkit di separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 8:34 AM