X
AHMAD Shapawi bersedia untuk membantu FAM sekiranya mereka berhasrat mengadakan kem latihan pusat bersama sukan lain. FOTO NSTP
AHMAD Shapawi bersedia untuk membantu FAM sekiranya mereka berhasrat mengadakan kem latihan pusat bersama sukan lain. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sedia memberikan kerjasama dalam membantu pasukan bola sepak negara mengadakan kem latihan berpusat secara kuarantin sebagai persiapan menghadapi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata menerusi pendekatan kuarantin, skuad Harimau Malaya itu akan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) sama ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi latihan pusat sepenuh masa membabitkan atlet kebangsaan ketika ini.

Menurutnya, kem latihan berpusat secara kuarantin menyaksikan skuad kebangsaan akan ditempatkan dalam satu kawasan dikawal ketat dengan pematuhan SOP.

"Secara dasarnya, kita sudah adakan perbincangan awal bersama sekretariat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan kita bersedia untuk membantu FAM sekiranya mereka berhasrat mengadakan kem latihan pusat bersama sukan lain dalam pendekatan kuarantin.

"Jadi, kita mengalu-alukan sekiranya pasukan bola sepak kebangsaan ingin bersama kita kerana agak jarang pasukan kebangsaan berlatih atau menjalani kem latihan pusat bersama sukan-sukan lain. Kami tidak sabar untuk melihat keadaan ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan mengesahkan skuad Harimau Malaya diberi kebenaran menjalani kem latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di MSN di Bukit Jalil, dalam masa terdekat.

Menurut Reezal, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (25 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 30 Mac ini.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 15 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:34 PM