Pemain Leicester City, James Maddison (tengah) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika berdepan Chelsea pada aksi Liga Perdana. FOTO Agensi
Pemain Leicester City, James Maddison (tengah) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika berdepan Chelsea pada aksi Liga Perdana. FOTO Agensi
AFP

Leicester, United Kingdom: Leicester melonjak ke tangga teratas carta Liga Perdana apabila mengalahkan Chelsea 2-0 di Stadium King Power, pagi ini.

Kekalahan pelawat itu sekali gus memberi tekanan ke atas pengendalinya Frank Lampard.

Skuad The Blues hanya menang dua daripada lapan penampilan terakhir liga, tercicir ke tangga kelapan, sembilan mata di belakang pendahulu.

Chelsea dilabelkan sebagai antara pasukan pencabar gelaran apabila berbelanja besar ketika jendela perpindahan lalu.

Tetapi Leicester yang dilihat lebih berwibawa untuk mengulangi kejuaraan epik mereka apabila mengejutkan dunia dengan gelaran Liga Perdana pada musim 2015-16.

Gelaran kedua dalam tempoh lima tahun bukan lagi kejutan buat Leicester, walaupun jurang kewangan antara The Foxes dan enam pasukan besar Liga Perdana amat ketara.

Leicester kembali mencabar kelompok teratas liga tertinggi Inggeris itu selepas Brendan Rodgers mengambil alih pasukan hampir dua tahun lalu.

Wilfried Ndidi meletakkan Leicester di depan selepas menerima umpanan Harvey Barnes seawal minit ke-6.

Tuan rumah menambah derita Chelsea apabila James Maddison menambah jaringan kedua selepas menyambut hantaran jauh daripada Albrighton sebelum waktu rehat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:43 AM