Pemain Shrewsbury Town, Shaun Whalley (kiri) melakukan rembatan sambil dihalang pemain Southampton. FOTO AFP
Pemain Shrewsbury Town, Shaun Whalley (kiri) melakukan rembatan sambil dihalang pemain Southampton. FOTO AFP
AFP

Southampton, United Kingdom: Southampton akan melayan kunjungan juara bertahan, Arsenal pada pusingan keempat Piala FA Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Shrewsbury, pagi ini.

Dan N'Lundulu meledak jaringan sulungnya pada penampilan pertama dalam kesebelasan utama untuk The Saints pada minit ke-17 di St Mary's sebelum jaringan pemain England, James Ward-Prowse memastikan kemenangan bergaya pasukan itu empat minit sebelum tamat perlawanan.

Pertemuan Southampton-Arsenal di St Mary's Sabtu ini adalah ulangan kepada final Piala FA 2003 di mana The Gunners menang 1-0.

Pengurus Southampton Ralph Hasenhuttl, melakukan tujuh pertukaran kepada barisan yang tewas 0-2 kepada pendahulu Liga Perdana, Leicester ternyata memuji aksi barisan pemain mudanya ketika menjangkakan perlawanan berdepan Arsenal pasti sukar bagi kelab itu.

"Semua pemain muda melaksanakan tugas dengan baik," kata Hasenhuttl kepada BT Sport.

"Anda boleh lihat di bilik persalinan mereka agak gementar. Namun mereka harus berani, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan ia adalah perlawanan yang baik buat mereka."

Kelab divisyen tiga Shrewsbury yang beraksi pada perlawanan kompetitif pertama sejak Disember berikutan kes Covid-19, tampil tanpa pengendali Steve Cotterill yang berada di unit rawatan rapi akibat virus berkenaan.

Cotterill dibawa ke hospital minggu lalu selepas virus melanda kelab berkenaan, menyebabkan perlawanan pusingan ketiga awal bulan ini terpaksa ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:40 AM