SULAIMAN menjadi penolong jurulatih Kuching City. FOTO Sulaiman Hussin
SULAIMAN menjadi penolong jurulatih Kuching City. FOTO Sulaiman Hussin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penolong pengendali Kuching City, Sulaiman Hussin akui mahu mengutip sebanyak mungkin ilmu kejurulatihan daripada jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.

Sulaiman yang sebelum ini membimbing UKM FC di Liga Perdana terpaksa mencari haluan baharu selepas skuad The Varsity itu tidak lagi menyertai Liga Malaysia musim ini.

"Saya begitu gembira untuk bekerja bersama ketua jurulatih Irfan Bakti dan menganggapnya sebagai penghormatan berkhidmat di bawah kendaliannya.

"Malah, saya ingin belajar daripada beliau yang kita semua tahu Irfan antara jurulatih yang sarat dengan pengalaman dan kejayaan.

"Selain itu, saya juga berterima kasih padanya yang menghulurkan peluang buat saya untuk terus melatih pasukan selepas tak lagi bersama UKM FC," katanya kepada Arena Metro.

Sulaiman memulakan kerjayanya sebagai jurulatih dengan membawa UKM FC pada tahun 2008.

Daripada hanya bertanding diperingkat Liga Universiti, sentuhannya berjaya menjulang pasukan untuk layak beraksi dalam liga utama negara di Liga Perdana.

Meskipun tidak dibekalkan dengan dana yang besar, Sulaiman berjaya memastikan UKM FC kekal dalam kancah Liga Perdana selama tiga musim berturut-turut dengan hanya menggunakan kudrat pelajar bersaing bersama pemain profesional.

"Saya mahu buka lembaran baharu dengan kelab Kuching City. Apapun, kenangan selama hampir 12 tahun dengan UKM FC takkan pernah terpadam.

"Terima kasih UKM FC kerana di sanalah saya bermula dan membangun untuk menjadi jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:10 PM