PEMAIN tengah Southampton, Che Adams (tengah) menerima cabaran daripada pemain Arsenal. FOTO AFP
PEMAIN tengah Southampton, Che Adams (tengah) menerima cabaran daripada pemain Arsenal. FOTO AFP
AFP

Southampton: Southampton menyingkirkan juara bertahan Piala FA, Arsenal selepas mencatat kemenangan 1-0 hasil gol sendiri Gabriel sekali gus mara ke pusingan kelima bertemu Wolves.

Gunners yang memenangi trofi itu sebanyak 14 kali, ketinggalan seawal minit ke-24 dan gagal bangkit selepas itu.

Ralph Hasenhuttl membariskan pasukan terkuat di St Mary dengan Danny Ings kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan bebas Covid-19 bersama-sama bekas penyerang Arsenal, Theo Walcott.

Arsenal di bawah bimbingan Mikel Arteta pula melakukan tujuh pertukaran berbanding ketika barisan yang menewaskan Newcastle 3-0 pada aksi Liga Perdana, Isnin lalu.

Southampton yang tidak pernah menewaskan Arsenal pada saingan Piala FA, jelas lebih menyerlah pada separuh masa pertama.

Southampton memperoleh ganjaran minit ke-24 selepas pertahanan kelab itu, Kyle Walker-Peters melakukan cubaan dari jarak jauh dan ia terkena Gabriel sebelum bola masuk ke gawang sendiri.

Ia adalah kali pertama gawang Arsenal bolos sejak 26 Disember tahun lalu ketika bertemu Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 11:01 PM