FAM akan mengadakan kongres ke-57 pada 13 Mac depan. FOTO NSTP
FAM akan mengadakan kongres ke-57 pada 13 Mac depan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa sahaja boleh bertanding pada pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57 dan ia termasuk ahli politik.

Namun, sebelum seseorang calon itu diterima untuk bertanding, individu berkenaan perlulah 'bersih' dan tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah atas apa juga kesalahan jenayah.

Malah, tokoh yang dicalonkan juga wajib bebas daripada masalah kebankrapan sekiranya berhasrat untuk merebut salah satu daripada 17 kerusi yang dipertandingkan nanti.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, tiada halangan buat mana-mana ahli politik untuk dicalonkan seperti mana dalam kongres pemilihan terdahulu.

"Ahli gabungan FAM boleh calonkan sesiapa sahaja untuk bertanding dan ada syarat-syaratnya.

"Jadi syarat itu dia (calon) mestilah tidak ada apa-apa pendakwaan atau tuduhan, macam kes pecah amanah ke, penyalah gunaan dadah, penipuan, rasuah, manipulasi perlawanan dan benda-benda macam itu tak boleh. Dia tidak layak bertanding.

"Walaupun ada ahli yang mencalonkan dia, orang itu tetap tak boleh bertanding. Ahli boleh calonkan siapa sahaja, tapi jawatankuasa saya akan teliti dia tak ada kes-kes atau tuduhan-tuduhan di mahkamah. Begitu juga bankrapsi pun sama, tak dibenarkan.

"Jadi kalau ada ahli politik yang dicalonkan boleh, tapi dia mestilah tak ada dakwaan di mahkamah," katanya kepada Arena Metro.

Semalam menerusi laporan Arena Metro, difahamkan kemungkinan beberapa calon ahli politik dijangka turut memanaskan pemilihan Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac depan.

Menurut sumber, ketika ini terdapat khabar angin yang mengaitkan nama tokoh tertentu untuk merebut jawatan penting di Wisma FAM.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan akan mengumumkan secara rasmi nama calon bertanding sebaik tarikh akhir pencalonan ditutup pada 11 Februari ini.

"Tamat tempoh pencalonan, kita akan umumkan. Tetapi jika ada calon yang mengumumkan, itu di luar bidang kuasa saya," katanya.

Sejak borang pencalonan dibuka pada 13 Januari lalu, hanya dua calon iaitu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengumumkan pendirian untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 11:32 PM