SAFAWI menduduki tempat kesembilan Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020. FOTO Aizuddin Saad
SAFAWI menduduki tempat kesembilan Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib tidak menyebelahi tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid untuk merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020 selepas hanya sekadar berada di kedudukan kesembilan.

Anugerah yang dikenali sebagai 'Asia's Choice – Fan Awards: Best Young Player in 2020' itu dimenangi pemain muda Iran, Mehdi Ghayedi selepas mendapat 24.4 mata.

Ghayedi mengalahkan rakan senegaranya, Mehdi Abdi Qara yang berada di kedudukan kedua dengan 21.37 mata.

Sementara itu, pemain Korea Selatan yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Kejuaraan AFC U23, Won Du-jae di tempat ketiga selepas memperoleh 16.2 mata.

Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengumpul 3.07 mata untuk berada dalam kelompok 10 terbaik daripada 20 calon asal yang disenaraikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi merebut anugerah itu.

Anugerah berkenaan dianjurkan AFC sebagai memberi pengiktirafan kepada pemain muda Asia berusia 23 tahun atau lebih muda pada 31 Disember 2020 berdasarkan persembahan bersama kelab dan pasukan kebangsaan.

Mata yang diperoleh dipengaruhi oleh 60 peratus undian peminat dan baki 40 peratus diberikan panel pakar.

Walaupun tidak berjaya memenangi anugerah berkenaan, peminat bola sepak negara seharusnya berbangga apabila penyerang tempatan itu tetap berada dalam kelompok 10 pemain muda terbaik asia untuk musim 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 5:57 PM