RENAN Alves terus kekal bersama skuad Hijau Kuning. FOTO FB KDA FC
RENAN Alves terus kekal bersama skuad Hijau Kuning. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import pertahanan kental Kedah, Renan Alves sah kembali bersatu bersama skuad Hijau Kuning bagi memperkuatkan benteng dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2021.

Pengesahan itu dimuat naik melalui media rasmi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini selepas pemain kelahiran Brazil itu selesai mengadakan sesi menandatangani kontrak bersama pasukan KDA FC baru-baru ini.

"Selamat kembali Renan Alves, pemain import terakhir yang diikat pasukan KDA FC bagi musim 2021.

"Pihak pengurusan meneruskan khidmatnya untuk semusim lagi bersama pasukan Hijau Kuning dan dengan ini, melenyapkan desas desus mengenainya sejak beberapa bulan lalu," kata kenyataan itu.

Kedudukan Alves untuk melengkapkan kuota import Kedah musim ini pernah menjadi persoalan apabila nama beliau tidak diumum lebih awal seperti yang dinantikan oleh para penyokong skuad Hijau Kuning.

Namun dengan pengumuman rasmi yang dibuat KDA FC ini akan seterusnya melicinkan lagi perancangan yang bakal dicatur oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak bersama gandingan empat lagi import lain.

Mereka adalah Kpah Sherman, Kipre Tchetche, Rabih Ataya dan M Anumanthan bagi menghadapi saingan sengit Liga M dan Piala AFC musim ini.

"Tidak dapat dinafikan sumbangan besar beliau di bahagian pertahanan, dengan bentuk fizikal yang tinggi dan keras serta padu, diyakini mampu mematahkan serangan pihak lawan.

"Beliau juga turut memberi sumbangan kejayaan dengan menjaringkan beberapa gol dalam situasi bola mati semasa beberapa aksi penting bersama Kedah sejak dua musim lalu.

"Semoga kritikan yang diterimanya akibat beberapa insiden yang melibatkan beliau dianggap kurang cermat sebelum ini dapat terus diperbaiki dan semoga Alves memberi fokus sepenuhnya dalam mencipta kejayaan bersama pasukan KDA FC," kata kenyaaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:17 PM