MAT Zan mengakui masih tidak dapat mempersiapkan pasukan. FOTO NSTP
MAT Zan mengakui masih tidak dapat mempersiapkan pasukan. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Mat Zan Mat Aris menyokong penuh andai saingan Liga Malaysia (Liga-M) dianjakkan ke suatu tarikh baharu yang lebih sesuai, sekiranya situasi wabak Covid-19 di negara ini kembali reda.

Pengendali berpengalaman itu berkata, tarikh asal yang dirancangkan iaitu 26 Februari depan adalah terlalu singkat dan sukar buat pasukannya untuk membuat persiapan bagi mengharungi saingan berkenaan.

"Sehingga kini PDRM belum dapat mengadakan latihan penuh dengan pemain yang ada. Latihan sebelum ini hanyalah membabitkan pemilihan pemain baharu, yang mana ketika itu belum mempunyai senarai penuh pemain.

"Malah, setakat ini pun kami hanya ada mempunyai seorang pemain import yang sudah berada dalam pasukan iaitu bekas pemain Terengganu FC, Bruno Suzuki, yang kebetulan sudah berada di Malaysia.

"Manakala tiga lagi pemain import masih dikuarantin dan belum dapat bersama pasukan. Ini sememangnya menyukarkan pasukan untuk buat persiapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Zan berkata, jika tirai pembukaan Liga M diteruskan pada tarikh asal, beliau hanya mempunyai masa sekitar sebulan untuk membuat persiapan dan tempoh berkenaan jelas tidak mencukupi.

"Kami memerlukan sekurang-kurang enam minggu untuk berlatih sebelum boleh bersaing dalam liga.

"Tambahan pula, ketika ini pemain hanya dapat berlatih secara bersendirian di rumah dengan pemantauan barisan jurulatih, namun itu tidak mencukupi untuk mencapai tahap kecergasan dan prestasi terbaik.

"Saya percaya masalah ini bukan saja dihadapi PDRM, malah hampir semua pasukan yang akan bersaing, walaupun terdapat sesetengah pasukan yang sudah membuat persiapan lebih awal iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan," katanya.

Sehubungan itu, bekas pengendali Negeri Sembilan itu menyokong penuh cadangan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang berpendapat penangguhan Liga M sebagai jalan yang terbaik supaya pasukan mempunyai ruang yang secukupnya untuk menjalani latihan sebelum 'bertempur' dalam saingan kompetitif.

Menurut Mat Zan, pembentuk sesebuah pasukan yang mantap bukan mudah, apa lagi dengan kekangan pemain terutama import untuk hadir dalam pasukan kerana terpaksa dikuarantin terlebih dulu.

"Saya rasa wajar dianjak ke tarikh baharu untuk memberi keadilan kepada setiap pasukan membuat persiapan lebih sempurna.

"Apa pun kita yakin Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin ada pertimbangan wajar mengenai perkara ini, namun ia sudah pasti akan melihat keadaan semasa wabak pandemik Covid-19 di negara kita," kata pengendali kelahiran Rembau Negeri Sembilan itu.

Terdahulu, Sathianathan yang juga Pengarah Teknikal Sarawak United mengesyorkan penangguhan Liga M berikutan tarikh 26 Februari kian singkat buat pasukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:37 PM