KONATE bakal menjadi pemain import kelima Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
KONATE bakal menjadi pemain import kelima Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kuota lima pemain import Terengganu FC (TFC) bakal lengkap apabila bekas kapten kelab Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia, Makan Konate dijangka 'mendarat' di Kuala Terengganu esok.

Menurut sumber, pemain kelahiran Mali berusia 30 tahun itu kini sudah selesai menjalani tempoh kuarantin selama sepuluh hari di Kuala Lumpur sejak tiba dua minggu lalu.

"Jika semuanya berjalan dengan lancar dan Konate mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk merentas negeri, pemain itu dijangka tiba di Kuala Terengganu esok.

"Selepas itu pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan memperkenalkannya secara rasmi kepada peminat, namun saya tidak mahu mendahului kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Tapi saya percaya pemain tengah menyerang itu akan dapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk melapor diri bersama pasukan TFC musim ini," jelas sumber kepada Sukan NSTP hari ini.

Berdasarkan rekod, pemain yang memulakan kariernya bersama kelab Stade Malien dalam Liga Mali itu sudah tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah menyarung jersi kelab dari Terengganu, T-Team pada 2016 hingga 2017.

Malah pemain itu juga tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Asia Tenggara kerana pernah beraksi bersama enam kelab dalam Liga Indonesia bermula dengan pasukan Pekanbaru, Barito Putera, Persib Bandung, Sriwijaya, Arema selain Persebaya Surabaya.

Kehadiran arkitek berketinggian 1.78 meter itu bakal menjadi taruhan skuad kendalian Nafuzi Zain dan Tengku Hazman Raja Hassan bagi menggantikan tempat kapten musim lalu, Lee Tuck yang kini bersama pasukan Pahang.

Sebelum ini TFC yang bakal mewakili negara dalam saingan Piala AFC selepas menghuni di tangga ketiga Liga Super musim lalu sudah merantai empat tonggak import termasuk bekas pertahanan kelab Aston Villa yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Christopher Herd.

Pemain berdarah campuran Filipina-Sepanyol, Carli De Murga, penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva dan bekas pemain Sabah yang juga kapten pasukan kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi juga sudah menjalani latihan bersama pasukan.

Skuad itu juga turut mengikat tujuh pemain tempatan termasuk tiga bekas pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Mohamad Hakimi Abdullah selain bekas kapten UKM FC, Asnan Ahmad, pemain sayap Pahang, Faisal Abdul Halim, Muhammad Arif Mohamed Anwar (UiTM FC) dan Azarul Nazarith Azhar dari Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:12 PM