IBRAHIMOVIC sangkal bahawa dia bersikap perkauman selepas insiden pergaduhan dengan Lukaku. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC sangkal bahawa dia bersikap perkauman selepas insiden pergaduhan dengan Lukaku. FOTO AFP
AFP

Rome: Zlatan Ibrahimovic menjelaskan dia menentang sikap perkauman sejurus insiden pergaduhan dengan bekas rakan sepasukan Manchester United, Romelu Lukaku ketika suku akhir Piala Itali apabila dia membangkitkan mengenai kepercayaan ilmu sihir.

Penyerang AC Milan itu bergaduh dengan Lukaku dengan menuduh pemain antarabangsa Belgium itu mempercayai ilmu sihir, jelas laporan media Itali.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Sweden itu memuat naik di Twitter bahwa dalam 'Dunia Zlatan' tidak ada tempat buat mereka yang bersikap perkauman.

"Kita semua adalah sama bangsa, kita semua sama rata. Kita semua adalah pemain, ada yang lebih baik berbanding lain," katanya.

Suasana tegang antara kedua-dua pemain bermula ketika tiupan wisel penamat separuh masa pertama di San Siro.

Ibrahimovic mengejek Lukaku dan membuatkan penyerang Inter itu marah dengan ketawa di depan mukanya sebelum kedua-dua mereka merapatkan muka antara satu sama lain.

Mereka terus berperang mulut ketika menuju ke terowong bilik persalinan dengan Lukaku kelihatan berang sebelum ditenangkan rakan sepasukannya.

Kedua-dua pemain dilayang kad kuning disebabkan insiden berkenaan dan Ibrahimovic diperintah keluar padang apabila meraih kad kuning kedua selepas 15 minit aksi separuh masa kedua bermula kerana mengasari Aleksandar Kolarov.

Pada 2018 pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri mendakwa Lukaku menolak untuk menandatangani kontrak baru kerana mendapat pesanan dari ilmu sihir.

Lukaku, yang menyertai United pada 2017, menjelaskan tiada unsur berkaitan ilmu sihir sehingga mempengaruhinya meninggalkan Everton.

Dalam satu temubual dengan BBC pada Januari 2018, wakil pemain berkenaan mengemukakan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Moshiri, bagi membuktikan Lukaku sebenarnya berpegang teguh dengan agama Katolik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:55 AM