TUCHEL akui Chelsea berdepan kesukaran untuk bersaing mencari kedudukan terbaik dalam EPL. FOTO AFP
TUCHEL akui Chelsea berdepan kesukaran untuk bersaing mencari kedudukan terbaik dalam EPL. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel mengakui Chelsea perlu berjuang habis-habisan untuk menamatka saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kelompok empat terbaik selepas sentuhan sulungnya berakhir dengan keputusan mengecewakan seri tanpa jaringan berdepan Wolves awal pagi tadi.

Tuchel mengambil alih daripada Frank Lampard yang dipecat selepas Chelsea bergelut di pertengahan liga berikutan beberapa keputusan kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Bekas pengendali Paris Saint Germain itu tidak berjaya memberikan inspirasi kepada pasukan barunya di penampilan sulung di Stamford Bridge.

Tuchel menjelaskan selepas perlawanan bahawa Chelsea tidak mempunyai harapan untuk muncul juara liga dan perlu berusaha keras untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Cheslea sekarang ini lima mata di belakang pasukan tempat keempat, West Ham, dengan hanya meraih dua kemenangan daripada sembilan aksi terakhir liga.

"Meraih kejuaraan liga, ia terlalu jauh, kami harus bersikap realistik dalam masa sama.

"Apabila anda menandatangani sebagai pengurus Chelsea, memang betul anda juga diletakkan harapan untuk memenangi gelaran, EPL, Liga Juara-Juara dan piala domestik.

"Ia memang jelas tapi dalam masa sama kami juga harus bersikap realistik, kerana banyak pasukan di atas kami dan mempunyai mata lebih banyak.

"Jadi perkara terbaik sekarang ini selepas berada di pertengahan musim adalah kami tidak boleh hilang fokus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 8:18 AM