AKSI Muriel (kanan) ketika membantu pasukannya menang 4-2 ketika menentang Napoli. FOTO AFP
AKSI Muriel (kanan) ketika membantu pasukannya menang 4-2 ketika menentang Napoli. FOTO AFP
AFP

Bergamo, Itali: Luis Muriel sudah melepasi peranan 'super-sub' dengan prestasi terbaik untuk menjadi tonik buat Atalanta apabila mereka turun berdepan Real Madrid pada aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di awal pagi Khamis ini.

Pemain Colombia itu menjaringkan satu gol dan membantu rakan senegara, Duvan Zapata mencipta satu lagi gol buat Atalanta memanaskan badan sebelum turun bertemu juara Sepanyol itu dengan kemenangan 4-2 ke atas Napoli sekali gus melonjakkan kedudukan ke tangga kelima Serie A hujung minggu lalu.

"Muriel menakjubkan tidak hanya untuk gol dan juga membantu mencipta gol," kata jurulatih Gian Piero Gasperini selepas penyerang itu merekodkan gol kesembilan berturut-turut sepanjang penampilannya di Serie A.

"Tahun ini dia menunjukkan kekuatan mental, fizikal dan prestasi yang menakjubkan. Prestasinya meningkat sangat banyak terutama dalam aspek kualiti dan konsisten."

Pemain berusia 29 tahun itu juga melalui kempen terbaik dalam kariernya dengan 17 gol setakat ini termasuk dua dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Dia pastinya mahu menunjukkan kehebatan sebenar selepas 18 bulan yang mengecewakan di Sevilla, dibeli dari Sampdoria pada 2017 sebagai pemain termahal kelab La Liga itu.

Dia meledak 13 gol dalam 65 perlawanan di Sepanyol sebelum kembali ke Itali menerusi pinjaman enam bulan bersama Fiorentina dan berhijrah ke Atalanta pada pertengahan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 12:37 PM