KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) bergambar bersama pemain import Melaka United Football Club (MUFC) selepas majlis menandatangani kontrak di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) bergambar bersama pemain import Melaka United Football Club (MUFC) selepas majlis menandatangani kontrak di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketumpulan jentera serangan sepanjang musim lalu cukup dirasai pasukan Melaka United apabila skuad Hang Tuah itu sekadar menghuni tangga kesembilan Liga Super sebelum ini.

Pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan mengakui masalah itu dan kehadiran pemain import baharu dari Brazil, Alex dos Santos Goncalves dilihat mampu menjadi penyelamat untuk memastikan bahagian serangan tampil lebih menyengat musim ini.

Goncalves yang sebelum ini beraksi dalam Liga Indonesia bersama kelab Persela Lamongan dan Tira-Persikabo ini dilabel sebagai mesin gol di sana selepas berjaya menjaringkan 18 gol dalam 32 penampilannya.

Dengan apa yang ditonjolkan pemain berusia 31 tahun itu sewaktu di Indonesia, ia memberi harapan kepada Zainal untuk menaruh kepercayaan terhadap Goncalves bagi membantu pasukan musim ini.

"Alhamdulillah, sejak dia datang dalam pasukan, saya dapat lihat dia adalah seorang penyerang yang mempunyai kualiti tersendiri dan semua itu dia tampilkan dalam latihan.

"Sebelum ini memang kami agak kekurangan daripada aspek serangan yang lebih tajam, dan Goncalves hadir untuk mengisi kekurangan yang ada itu dalam pasukan ini.

"Saya harap kualiti yang ada pada dirinya akan berkesan dan memberi impak kepada Melaka United sepertimana yang dia lakukan ketika di Indonesia," katanya yang terus membimbing Melaka United semusim lagi.

Untuk rekod, bagi kempen baru musim ini, pasukan berjaya mengikat beberapa pemain baharu seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Khairul Helmi Johari dan Manuel Ott untuk memperkukuhkan pasukan.

Melaka United FC akan melayan kunjungan Sabah FC ke Stadium Hang Jebat pada Sabtu, 6 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:04 PM