GOl Giroud (kiri) menerusi sepakan gunting. FOTO EPA
GOl Giroud (kiri) menerusi sepakan gunting. FOTO EPA
AFP

Bucharest: Sepakan gunting Olivier Giroud mengecewakan Atletico Madrid sekali gus menyaksikan Chelsea berjaya melakar kemenangan 1-0 untuk memberikan kelebihan kepada skuad bimbingan Thomas Tuchel pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Gol akrobatik Giroud pada awalnya tidak dikira kerana ofsaid namun semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan Mario Hermoso adalah pemain terakhir menyentuh bola sekali gus menyukarkan misi Atletico untuk melangkah ke saingan suku akhir.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenai jaringan itu, sebaliknya saya hanya mahu menjaringkan gol.

"Saya suka jaringan seperti itu dan gembira melihat bola masuk ke gawang lawan. Saya tidak terfikir mengenai ofsaid atau sebaliknya," katanya.

Skuad bimbingan Diego Simeone sekali lagi mempamerkan corak bertahan yang ampuh sehinggalah dibolosi menerusi jaringan Giroud sekali gus bermakna mereka perlu menjaringkan gol apabila berkunjung ke London 17 Mac depan untuk mengelak daripada tersingkir awal.

Aksi Atletico pada saingan La Liga juga mencetuskan kerisauan selepas hanya berjaya melakar satu kemenangan daripada empat perlawanan terakhir.

"Keputusan tidak memihak kepada kami. Jadi kami harus terus bekerja keras," kata Simeone.

Manakala Chelsea melepasi ujian terbesar mereka sejak Tuchel membimbing kelab itu bulan lalu.

"Kami tahu kekuatan mereka dan cuba mengatasinya. Kami perlu kekal fokus untuk menyelesaikan tugasan ini," kata Giroud.

Gol tunggal Giroud pada minit ke-68 itu hanyalah jaringan ketiga dilepaskan Atletico sepanjang 14 perlawanan di tempat sendiri pada aksi Liga Juara-Juara sepanjang di bawah bimbingan Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 7:54 AM