AHMAD Najmi ketika bertemu skuad kebangsaan. FOTO MHC
AHMAD Najmi ketika bertemu skuad kebangsaan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Siapakah yang akan dipilih oleh ketua jurulatih Arul Selvaraj dalam senarai 25 pemain skuad hoki lelaki negara akan diketahui Sabtu ini.

Demikian penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abd Razak berhubung senarai 25 pemain yang akan dipilih Arul berbanding 38 pelatih ketika ini.

"Arul sudah memberikan perkembangan mengenai pemain yang berlatih di dalam kem selama tiga minggu. Jadi dia sudah membuat keputusan untuk umumkan senarai nama akhir pada Sabtu ini.

"Amat penting untuk jurulatih memilih senarai akhir pemain supaya boleh memberikan lebih fokus kepada pemain yang terpilih daripada konteks skil, tahap kecergasan dan strategi. Oleh itu harapan saya pada semua yang terpilih akan meneruskan usaha mereka.

"Saya percaya barisan pemain yang terpilih pastinya mempamerkan prestasi baik sepanjang tempoh latihan tiga minggu ini," katanya.

Ahmad Najmi berkata, selaku jurulatih sudah pasti Arul tidak dapat memilih semua pemain yang menjadi pilihannya sebelum ini dan mahu mereka yang diketepikan membuktikan kemampuan sekali lagi di Liga Hoki Malaysia.

"Kepada yang tidak akan terpilih, saya harap mereka dapat meningkatkan lagi usaha dan prestasi mereka. Kita akan anjurkan Liga Hoki Malaysia tahun depan, jadi yang tak terpilih itu tak semestinya harus berputus asa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:34 PM