Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun.
Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kekangan kewangan menyebabkan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mungkin menjadi pasukan wanita kedua 'dikorbankan' daripada mewarnai Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) selepas pasukan Hockademy sah tidak bertanding musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun yang mengakui pasukan gergasi Pantai Timur itu terpaksa berbuat demikian kerana masalah kewangan persatuan.

"Ya pasukan TLHT belum pasti menyertai liga hoki tahun depan kerana kita menghadapi kekangan kewangan kerana bajet kita dikurangkan lebih 50 peratus berbanding tahun ini.

"Jadi kita mungkin terpaksa membuat keputusan yang agak berat dan sukar, mungkin kita menarik diri jika keadaan kewangan kita tenat walaupun pada awalnya persatuan berhajat untuk menyertai kejohanan berprestij di Malaysia itu seperti biasa.

"Ini cabaran yang terpaksa persatuan lalui musim depan kerana dengan bajet yang kecil tidak mungkin kita mampu uruskan pasukan termasuk untuk membayar gaji pemain.

"Dengan penjelasan ini kita berharap peminat setia pasukan Hitam Putih itu menerima dengan hati yang terbuka, begitu juga dengan pemain yang sudah pasti ternanti-nanti kejohanan terbesar di negara itu, " katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan keputusan tidak menyertai kejohanan itu masih belum muktamad kerana persatuan sedang berusaha mencari penajaan dan dana.

"Jika ada dana yang cukup kita akan sertai, tapi jika tidak cukup penajaan apa boleh buat... menarik diri adalah langkah terbaik bagi mengelak pelbagai implikasi timbul," katanya.

Namun beliau menjelaskan pihak persatuan tidak akan mengabaikan pasukan berkenaan demi pembangunan sukan hoki negeri.

"Jika tidak menyertai liga, kita tidak sesekali mengabai pasukan wanita, sebaliknya kita bercadang untuk mengadakan kejohanan dalaman, mungkin kita akan menjemput pasukan luar bagi memeriahkan lagi pertandingan itu.

"Tapi setakat ini kita belum putuskan lagi tarikh sebenar dan bentuk pertandingan itu, tapi kita berharap dapat mengadakan kejohanan itu musim depan jika kita tidak sertai liga," katanya yang mengakui Pasukan Hoki Lelaki (THT) masih selamat dan tetap dihantar menyertai kejohanan itu.

Musim ini skuad TLHT yang dibimbing Mohd Nasihin Nubli Ibrahim sekadar muncul naib juara liga manakala juara menjadi milik pendatang baharu, Hockademy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:53 PM