Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan RM300,000 tapi dijangka hampir RM2 juta yang akan diperuntukkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi membolehkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) diteruskan pada 11 Mac sehingga 3 April di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan menerapkan konsep gelembung sukan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, selepas menimbang beberapa perkara yang bakal menelan belanja tinggi termasuk dari segi tempat tinggal, makan minum dan pengangkutan pemain serta pegawai.

"Kita akan maklumkan dalam masa terdekat (mengenai MHL) dan saya rasa tidak ada masalah. Seperti saya katakan sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah rakan kongsi, malah kami sentiasa bekerjasama.

"Dalam masa terdekat kami akan maklumkan mengenai perkembangan MHL," katanya pada sidang media Program Pembangunan Hoki Kebangsaan MHC-MSN-KPM (NHDP) hari ini.

Subahan berkata Jawatankuasa Pertandingan dijangka mengadakan Mesyuarat Pengurus Pasukan esok secara atas talian dan jumlah pasukan dijangka kekal lapan untuk saingan lelaki, manakala enam untuk liga wanita.

"Kita juga sudah berbincang dengan beberapa penaja lain walaupun penaja utama adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) tapi untuk menganjurkan liga ini memakan belanja yang besar kerana diadakan dalam konsep gelembung sukan.

"RM300,000 sebenarnya tidak tepat sebab ia sudah pasti mencecah jutaan ringgit kerana anda bayangkan pemain dan pegawai akan tinggal di hotel, bagi makan minum di waktu pagi, petang dan malam.

"Pengangkutan lagi, semuanya hendak dijaga secara rapi kerana MHC mahu membuktikan kami mampu mengikut apa yang diarahkan kerajaan dan yang terbaik dalam penganjuran liga (di musim pandemik) tanpa sebarang masalah.

"Kami mahu jadi 'role model' bukan hendak sombong tapi kosnya mungkin makan hampir RM2 juta kerana inilah realiti, disebabkan itu saya bersama jawatankuasa saya perlu bertungkus-lumus sambil TNB membantu kami juga mencari siapa boleh menaja penginapan atau sebagainya," kata Subahan.

Dalam pada itu MHC mengumumkan penubuhan satu Pusat Latihan Program Khas Akar Umbi yang akan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di mana ia merupakan salah satu projek di bawah NHDP.

Program yang dijalankan secara percuma itu dijangka akan bermula pada awal Mac selepas mendapat kelulusan kerajaan Malaysia dan ianya terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah selain mensasarkan penyertaan daripada seluruh Malaysia.

Subahan turut mengumumkan perlantikan Kevin Nunis iaitu seorang ikon dalam sukan hoki di Malaysia selaku Ketua Jurulatih Program Khas Akar Umbi dan akan dibantu oleh Penolong Jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan, Nabil Fikri Mohd Noor.

Subahan Kamal menyampaikan surat perlantikan kepada Kevin Nunis (kiri) sambil disaksikan Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr Sharmala Subramaniam (kanan) dan Nabil Fiqri selepas sidang media NHDP di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
Subahan Kamal menyampaikan surat perlantikan kepada Kevin Nunis (kiri) sambil disaksikan Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr Sharmala Subramaniam (kanan) dan Nabil Fiqri selepas sidang media NHDP di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:56 PM