HARRY (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain kelab berkenaan ketika sesi latihan di Terengganu Equestrian Resort (TER). FOTO MALIK MUHAMAD
HARRY (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain kelab berkenaan ketika sesi latihan di Terengganu Equestrian Resort (TER). FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Polo Terengganu (KPT) bertekad akan memperkasakan lagi sukan ekuestrian di negeri ini bagi melahirkan pemain polo bertaraf antarabangsa.

Setiausaha KPT, Datuk Harry Isaacs berkata, walaupun berdepan dengan kekangan kewangan kerana kos yang agak mahal untuk seseorang membabitkan diri dalam sukan itu, KPT akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan impian berkenaan.

"Walaupun menjangkau usia 45 tahun, kami masih aktif hingga kini menjalani aktiviti sukan polo ini iaitu satu cabang sukan ekuestrian yang sebelum ini dinamakan Kelab Polo Diraja yang ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

"Sukan polo ini sebenarnya agak asing kepada orang ramai kerana peluang untuk menyertainya agak terhad kerana kosnya terlalu tinggi termasuk untuk mendapatkan kuda yang berkualiti, jadi ia di luar kemampuan orang biasa.

"Lagipun biasanya sukan ini dimainkan oleh golongan elit, tapi kelab polo kita ini cuba membawa sukan berkuda kepada rakyat biasa termasuk orang kampung, inilah harapan murni Almarhum Sultan Mahmud ketika menubuhkan kelab polo ini.

"Kita sahut cabaran itu dan kita teruskan saranan daripada Almarhum Sultan Mahmud, sekarang kita ada 45 pemain yang aktif termasuk 20 pelatih daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman yang menjadi pelapis kita.

"Selain itu kita juga mempunyai 25 ekor kuda berkualiti baka dari Argentina yang puratanya berharga antara RM70,000 hingga RM100,000 seekor.

"Jika dilihat prestasi semasa pemain, kita begitu bangga kerana dalam kalangan pemain kelab kita sudah diintai kelab dari luar Terengganu untuk dapatkan khidmat mereka menjadi pemain profesional, ini perkembangan yang begitu positif.

"Tahun depan kita rancang untuk mengadakan kejohanan sukan polo ini di Terengganu jika keadaan semasa pandemik Covid-19 reda, jadi kita lihat impian untuk melahirkan pemain berwibawa bertaraf antarabangsa bakal tercapai," katanya ketika ditemui di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:06 PM