Michael Woods meraikan kemenangan selepas melepasi garisan penamat peringkat tujuh perlumbaan basikal La Vuelta. FOTO AFP
Michael Woods meraikan kemenangan selepas melepasi garisan penamat peringkat tujuh perlumbaan basikal La Vuelta. FOTO AFP
AFP

Madrid: Pelumba Kanada, Michael Woods merekodkan masa cemerlang untuk memenangi peringkat tujuh di La Vuelta ketika Richard Carapaz kekal pendahulu keseluruhan perlumbaan.

Woods berjaya meloloskan diri di depan dengan mendahului kira-kira empat saat dalam penamat sengit membabitkan lima pelumba di utara Sepanyol dan melengkapkan kejayaannya kedua dalam peringkat perlumbaan itu.

Pelumba berusia 34 tahun itu berjaya mendahului dua pelumba Sepanyol, Omar Fraile (Astana) yang menduduki tempat kedua dan Alejandro Valverde (Movistar) ketiga, sementara pelumba Perancis, Nans Peters dan Guillaume Martin di kedudukan keempat dan kelima.

"Ia hari yang istimewa dan menakjubkan dapat berlumba di negara Basque," kata Woods kepada EF Pro Cycling.

"Saya berjaya mengatasi empat pelumba itu, mereka memberi tentangan yang sangat sengit, dan saya pasti berasa kecewa jika tidak mampu melepasi saingan itu.

"Dengan Valverde dalam kumpulan itu saya hanya tidak dapat meneruskan kerana kami ada Hugh Carthy dalam kelompok peloton dan saya tidak dapat memberikannya lebih masa dalam kelayakan umum.

"Jadi berasa sedikit lega. Dibantu dengan sedikit nasib, saya berjaya memecut dan memenangi perlumbaan."

Woods, yang akan menyertai Israel Start-Up Nation pada 2021, mengalami kecederaan patah kaki pada awal tahun ini namun kembali bangkit dengan kemenangan peringkat di Tirreno-Adriatico pada September dan meneruskan aksi kebangkitannya di Sepanyol.

Rakan sepasukannya, Hugh Carthy menduduki tempat kedua dalam kelayakan keseluruhan, 18 saat di belakang Carapaz dari Ineos.

Pelumba Ireland, Daniel Martin hanya dua saat di belakang pada kedudukan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:48 AM