X
KHABIB (kiri) menewaskan Gaethje, Sabtu lalu. FOTO Agensi
KHABIB (kiri) menewaskan Gaethje, Sabtu lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Persaraan mengejut Khabib Nurmagomedov adalah keputusan yang agak beremosi, dedah jurulatihnya sambil menyatakan hanya masa akan menentukan bilakah dia akan kembali beraksi.

Raja lightweight itu memegang rekod 29-0 pada UFC 254 selepas menumbangkan Justin Gaethje di pusingan kedua, Ahad lalu.

Bagaimanapun selepas tamat pertarungan itu, Khabib yang beraksi kali pertama sejak kehilangan bapanya, mengumumkan mahu bersara.

Pendedahan itu turut mengejutkan jurulatihnya, Javier Mendez yang tidak mengetahui keputusan petarung berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun Mendez sedar Khabib sedang beremosi selepas kemenangan itu sekali gus enggan memikirkan mengenai kariernya.

"Melihat kepada emosinya, dia menangis dan seperti tidak tentu arah.

"Dia tidak bercakap apa-apa kepada saya, jadi saya juga seperti orang lain terkejut dengan pengumumannya itu.

"Saya terus menemuinya dan beritahu yang saya sayangkannya, menangislah sepuasnya.

"Saya tahu apa yang dia katakan tetapi dia begitu emosi, jadi hanya masa yang akan menentukan sama ada dia benar benar bersara atau sebaliknya.

"Sejujurnya saya tidak akan bercakap mengenainya. Itu bukan kerja saya. Kerja saya adalah untuk menyayanginya dan melatihnya apabila dia mahu bertarung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:40 PM