ROGLIC bergambar di atas podium. FOTO AFP
ROGLIC bergambar di atas podium. FOTO AFP
AFP

Alto de Moncalvillo, Sepanyol: Primoz Roglic mengatasi cabaran sengit Richard Carapaz untuk menjuarai saingan peringkat kelapan Vuelta a Espana semalam dan mengurangkan jurang dengan Carapaz dalam klasifikasi keseluruhan.

Pelumba Slovenia, Roglic tidak berdepan tekanan ketika diasak Carapaz pada lewat perlumbaan dan mengatasi pelumba Ecuador itu dengan 13 saat manakala pelumba Ireland, Dan Martin tempat ketiga.

Empat pelumba teratas dipisahkan kurang daripada seminit walaupun kejayaan Roglic bermakna dia mengurangkan masa dengan Carapaz daripada 30 saat kepada 13.

Martin ketiga, ketinggalan 28 saat manakala Hugh Carthy keempat dengan 44 saat di belakang dan pelumba Movistar, Enric Mas melengkapkan kedudukan lima teratas hampir dua minit di belakang.

"Ia agak membosankan, permulaan perlahan tetapi kelajuan makin meningkat dan menjadi lebih pantas menuju pendakian akhir,'' kata Roglic.

"Pada pendakian terakhir, ia sebenarnya kali pertama saya lakukan dalam hidup. Saya tak tahu, hanya selepas saya melihat profil, baru saya tahu ia pendakian yang sukar.

"Tetapi ia peluang yang baik, anda perlu berdepannya jika mahu menang.''

Roglic memandang ke atas dan memegang kedua-dua lengannya ketika tiba di garisan penamat.

"Saya suka menang, jadi jika ada peluang kecil pun, akan saya manfaatkannya,'' katanya.

"Ia memang sukar tetapi kaki ini mampu mengayuh. Saya gembira menang saingan peringkat dan sudah tentu lebih indah jika menang perlumbaan kali ini."

Sementara itu, pelumba Jumbo-Visma, Tom Dumoulin tidak berada di permulaan selepas menarik diri daripada perlumbaan susulan keletihan.

Juara Giro d'Italia 2017 itu membantu Roglic meraih tempat kedua di Tour de France. "Ini keputusan tepat, " Dumoulin.

Peringkat ke-9 Vuelta berlangsung hari ini dari Castrillo del Val ke Aguilar de Campoo sejauh 157.7km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 12:24 PM