Presiden KOM Datuk SM Muthu. FOTO File NSTP
Presiden KOM Datuk SM Muthu. FOTO File NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kejohanan Olahraga Tertutup yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, akan ditukarkan kepada ujian latihan dengan penyertaan atlet lebih terhad berikutan kes membabitkan pandemik Covid-19 semakin meningkat.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, hanya atlet dan jurulatih masing-masing saja yang boleh hadir ke venue berkenaan.

Beliau berkata, ujian berkenaan sangat penting bagi mengukur kemampuan atlet seterusnya memperbaiki kelemahan mereka selepas hampir enam bulan tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif.

Katanya, ujian latihan itu hanya membabitkan acara jarak dekat sahaja dan diadakan selama sehari dengan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi semua pihak.

"Kami tetap mengadakan ujian latihan terbabit yang menggantikan kejohanan tertutup namun penyertaan atlet adalah terhad.

"Setakat ini, tidak semua atlet akan menyertai kerana ada antara mereka cedera seterusnya terlepas menyertai ujian latihan itu.

"Tiada pembabitan atlet dan pegawai dari luar sebaliknya hanya membabitkan atlet Program Podium dan pelapis sahaja akan menyertainya," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Sementara itu, Muthu berkata, Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Bukit Jalil yang dijadualkan pada 11 hingga 13 Disember depan diteruskan seperti yang dijadualkan.

"Namun, kita tetap melihat kepada situasi semasa dan sekiranya kes Covid-19 masih lagi tinggi kemungkinan akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan untuk meneruskan kejohanan terbabit atau sebaliknya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:54 PM