ROGLIC berjaya mempertahankan juara keseluruhan Vuelta yang diraihnya tahun lalu. FOTO AFP
ROGLIC berjaya mempertahankan juara keseluruhan Vuelta yang diraihnya tahun lalu. FOTO AFP

Madrid: Pelumba Slovenia, Primoz Roglic meraih kejuaraan Vuelta a Espana buat kali kedua sekali gus memadamkan kekecewaannya di Tour de France sebelum ini.

Roglic dari pasukan Jumbo-Visma menjadi pelumba pertama mempertahankan kejuaraan Vuelta sejak Roberto Heras melakukannya pada 2005.

Pelumba Jerman, Pascal Ackermann memenangi perlumbaan peringkat ke-18 iaitu saingan terakhir di Madrid.

Richard Carapaz dari Ecuador menduduki tangga kedua keseluruhan selepas mendahului sepanjang lima peringkat dan meletakkan Roglic dalam keadaan tertekan sehinggalah ke peringkat paling mencabar Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Roglic berjaya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan dan memiliki kelebihan 24 saat pada hari terakhir, sebelum tenang melintasi garisan penamat sebagai juara.

Pelumba Britain, Hugh Carthy menduduki tangga ketiga, manakala Dan Martin (Ireland) dan wakil tuan rumah, Enric Mas melengkapkan kedudukan lima teratas.

Ackermann dari Bora-Hansgrohe meraih kejuaraan peringkat terakhir melalui rakaman 'photo-finish' selepas bersaing dengan Sam Bennett (Deceuninck-Quick Step), manakala tempat ketiga diraih pelumba, Sunweb, Max Kanter.

"Seluruh pasukan saya sangat istimewa dan kami melakukan sesuatu yang istimewa sepanjang tahun.

"Perlumbaan di Vuelta ini menunjukkan kesungguhan mereka walaupun kami tidak berada pada aksi terbaik. Kami sudah berikan yang terbaik dan ia sangat luar biasa. Saya sangat gembira dan berasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan," kata Roglic.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 9:03 AM