FUAD (tengah) harap kehadiran Rustam dapat beri impak besar dalam skuad tinju negara buru lebih banyak kejayaan di pentas Asia mahupun Asia Tenggara. FOTO NSTP
FUAD (tengah) harap kehadiran Rustam dapat beri impak besar dalam skuad tinju negara buru lebih banyak kejayaan di pentas Asia mahupun Asia Tenggara. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan berkata dia tidak mempunyai banyak masa dan perlu segera mengadaptasi corak latihan dan pendekatan yang bakal digunakan oleh jurulatih baru, Rustam Saidov yang akan memulakan tugasnya Januari ini.

Ini kerana temasya Sukan SEA Vietnam akan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember 2021 dan Rustam hanya mempunyai tempoh 11 bulan mempersiapkan atlet.

Tambahan pula Fuad yang baru bertukar kategori iaitu dari 49 ke 52 kilogram itu hingga kini masih belum menyertai mana-mana pertandingan terutama di peringkat antarabangsa menyebabkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu sukar untuk mengagak sejauh mana pergerakan dan kemampuannya.

Justeru kehadiran Rustam diharapkan dapat memberikan impak yang besar dalam skuad tinju negara yang memburu lebih banyak kejayaan di pentas Asia mahupun Asia Tenggara.

"Jika nak ikutkan jangka masa untuk ke Sukan SEA itu pendek. Kami minta jurulatih baru pada pertengahan tahun ini tapi tak lepas.

"Jadi beliau (Rustam) ada masa tak sampai setahun untuk melatih kami sebelum Sukan SEA. Bukan saja jurulatih kami petinju pun kena cepat. Sama-sama kena cepat suaikan diri dengan teknik dan latihan baru," katanya.

Terdahulu Fuad membuat keputusan bertukar ke kategori 52kg selepas 11 tahun beraksi dalam kategori 49kg dalam usaha mencuba nasib bagi kelayakan Olimpik, memandangkan kategori rendah tidak disenaraikan bagi Olimpik.

Untuk rekod Fuad beraksi di Sukan SEA selama enam kali bermula edisi 2009 di Laos, meraih pingat emas di temasya Kuala Lumpur 2017, namun terpaksa berpuas hati dengan gangsa di Filipina pada tahun lalu.

Mengulas mengenai corak latihannya ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, Fuad berkata, ketika ini dia berlatih bersendirian kerana perlu pulang ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana tuntutan kerja.

Katanya, dia perlu bijak menyusun masa antara kerja dan latihan biarpun mengakui banyak perbezaannya apabila terpaksa berlatih sendirian tanpa rakan sepelatih yang lain.

"Memang banyak beza apabila tak dapat berlatih bersama kawan-kawan tapi latihan tetap perlu diteruskan. Kerja juga perlu dilakukan kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang dipikul," katanya yang dijadualkan akan menyertai pertandingan Piala Malaysia pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:17 PM