MAE Chen berkata penganjuran kejohanan secara maya itu juga adalah pentas terbaik buat skuad terjun negara mengukur keupayaan. FOTO NSTP
MAE Chen berkata penganjuran kejohanan secara maya itu juga adalah pentas terbaik buat skuad terjun negara mengukur keupayaan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Buat julung kali, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan menganjurkan satu kejohanan terjun antarabangsa secara maya pada 5 dan 6 Disember ini, sebagai langkah proaktif bagi memastikan skuad terjun negara kekal kompetitif.

Setiausaha Agung MAS Mae Chen berkata kejohanan itu juga membolehkan atlet terjun negara kembali merasai suasana pertandingan selepas sekian lama tidak bertanding.

Malah, penganjuran kejohanan secara maya itu juga adalah pentas terbaik buat skuad terjun negara mengukur keupayaan mereka selepas tidak menyertai pertandingan tahun ini ekoran pandemik Covid-19, katanya.

"Setiap negara peserta akan diwakili oleh seorang juri. Penilaian dan mata terjunan akan diberikan barisan juri yang telah ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

"Setiap penerjun akan membuat terjunan di setiap venue mereka dan seterusnya juri akan memberikan markah masing-masing selepas itu," katanya kepada Bernama.

Menurutnya lebih banyak kejohanan simulasi bakal diadakan selepas ini untuk skuad negara.

Kejohanan itu katanya akan mempertandingkan acara Sukan Olimpik dengan hanya acara tiga meter (m) papan anjal dan 10m bagi plaftorm individu dan platform seirama dipertandingkan, membabitkan atlet terjun lelaki dan wanita.

Kejohanan itu akan disertai oleh lima negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah, selain Singapura, Jepun, Australia dan New Zealand, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:43 PM