SHAZRIN (kiri) akui atlet perlu bijak isi masa lapang. FOTO AIZUDDIN SAAD
SHAZRIN (kiri) akui atlet perlu bijak isi masa lapang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet perlu bijak untuk mengisi masa lapang terutama ketika masih lagi tidak dibenarkan untuk keluar daripada pusat latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) yang masih lagi berada dalam program latihan kuarantin.

Bagi atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Latif, masa lapang yang ada diisi bersama atlet yang lain dengan bermain permainan bersama kawan-kawan di kem latihan pusat MSN di Langkawi.

Katanya, tiada apa yang boleh dilakukan, selain menjalani latihan seperti biasa masa lapang yang terluang perlu diisi dengan bijak kerana MSN di Langkawi turut menggunakan pendekatan yang sama iaitu sistem kuarantin seperti di Kuala Lumpur.

"Di Langkawi ini sama juga seperti di KL. Tapi kami masih lagi boleh keluar seminggu sekali namun perlu mengisi borang dan mendapat keizinan dulu tapi itu hanya dibenarkan keluar waktu siang saja.

"Memang ada kalanya rasa bosan bila tak boleh keluar, tapi nak hilangkan bosan itu senang saja, saya perlu jadi kreatif cari idea apa yang boleh buat di kompleks ini.

"Lebih mudah, semua atlet pelayaran di sini rapat. Kami membesar bersama-sama jadi kami cipta 'game' sendiri seperti main 'Running Man', main teka-teki dan macam-macam lagi.

"Lagi pula atlet perempuan di sini tak ramai, kami ada 13 orang saja. Itupun sudah cukup buat kompleks ini bising dengan gelak tawa kami semua," katanya.

Kata Shazrin yang akan beraksi buat kali kedua di temasya Olimpik Tokyo, kebanyakan atlet pelayaran wanita ini sedikit pemalu dan kesemua lebih selesa untuk berkomunikasi atau bermain sesama sendiri.

"Atlet yang berada di Langkawi ini 36 orang, perempuan 13 orang saja. Jadi kami kena pandai-pandai untuk isi masa yang terluang.

"Untuk mengelak diri daripada cedera memang kami jarang bermain bersama atlet lelaki yang lain," katanya.

Mengulas mengenai tahap prestasinya, Shazrin berkata, untuk kembali ke prestasi terbaiknya agak susah kerana hingga kini masih belum ada sebarang pertandingan untuk menilai kemampuan dirinya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:48 PM