ANTARA aksi Perancis bertemu Itali. FOTO AFP
ANTARA aksi Perancis bertemu Itali. FOTO AFP
AFP

Paris: Ketua jurulatih Perancis, Fabien Galthie berkata barisan pemainnya mempamer aksi sempurna selepas Gabin Villiere, salah seorang daripada 11 pemain yang beraksi kali pertama, melakukan try secara solo ketika menewaskan Itali 36-5 di Stade de France untuk melangkah ke pentas final Autumn Nations Cup.

Villiere, 24, yang beraksi bersama kelab divisyen ketiga di Perancis 18 bulan lalu, melakukan try itu pada separuh masa kedua ketika Azzurri hanya beraksi dengan 14 pemain selepas Jacopo Trulla dilayangkan kad kuning.

"Separuh masa agar sukar dan sengit dengan pemain baharu yang tidak mempunyai pengalaman beraksi bersama di bawah tekanan," kata Galthie kepada France 2.

"Kami menamatkan saingan dengan lima try dan empat daripadanya dilakukan pada separuh masa kedua."

Dengan kemenangan itu, Perancis akan bertemu England pada aksi final minggu depan.

Sementara itu jurulatih England, Eddie Jones lega selepas anak buahnya berjaya mengatasi Wales 24-13 untuk menempah tiket ke pentas final.

Juara Enam Negara itu tidak beraksi dengan baik apabila sekadar mendahului 11-7 selepas berakhir separuh masa pertama.

"Selepas berakhir separuh masa pertama ia seperti menyaksikan filem seram," kata Jones kepada media.

"Kami hanya mendahului dengan agak tipis selepas tamat separuh masa pertama. Wales melakukan segala-galanya untuk merapatkan jurang dan mujur kami bangkit di separuh masa kedua."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 10:53 AM